PPKM tersinggung kenyataan KUPEKMAS

KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) semalam menyuarakan rasa tersinggung terhadap kenyataan Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) berhubung tiada badan khas yang menjaga kebajikan kira-kira 500,000 pesara.
2012/02/23

KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) semalam menyuarakan rasa tersinggung terhadap kenyataan Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) berhubung tiada badan khas yang menjaga kebajikan kira-kira 500,000 pesara.

Presidennya, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, berkata PPKM sebenarnya sudah lebih 40 tahun membela nasib kira-kira 600,000 pesara sejak 1972 dan sudah banyak membantu memperjuangkan hak mereka seperti pengiraan pencen mengikut formula berasaskan kepada tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara berkuat kuasa 1 Januari 2009.

“Antara lain termasuklah pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga, pemberian pencen terbitan kepada balu pesara yang dikahwini selepas persaraan selama 20 tahun daripada tarikh persaraan dan pemberian pencen minimum RM720 sebulan bagi pesara sudah berkhidmat tidak kurang 25 tahun mulai tempoh sama.

“Kemudahan lain yang diperoleh ialah wad percuma di hospital bagi pesara dan pemberian wang ihsan dua kali sebanyak RM500 setiap pemberian tahun lalu.

“Selain itu, ia juga membabitkan penyelarasan pencen sebanyak 7 hingga 13 peratus kepada pesara apabila kerajaan melaksanakan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu dan kenaikan pencen pada kadar dua peratus setahun mulai tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Semalam akhbar melaporkan sekumpulan bekas pemimpin CUEPACS dan kesatuan gabungannya menubuhkan KUPEKMAS untuk menyatukan orang Melayu dan menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan dasar transformasi.

0 comments:

Post a Comment

Nak komen? Silakan.