MODEL baru PROTON, P3-21A, yang akan menjengah pasaran pada pertengahan bulan depan, akan dilengkapi rangkaian internet berkelajuan tinggi, sekali gus menjadikan-nya sebagai kereta keluaran tempatan pertama dilengkapi teknologi hiburan kereta yang serba lengkap.
Pengenalan ciri nilai tambah itu direalisasikan hasil kerjasama strategik antara PROTON Holdings Bhd dengan YTL Communications Sdn Bhd.
Di bawah kerjasama itu, perkhidmatan 4G Yes yang dibangunkan YTL Communications akan dipasang dalam model baru berkenaan.
Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan PROTON Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kerjasama itu adalah sebahagian langkah penjenamaan semula kereta PROTON sejajar komitmen syarikat dalam menyediakan produk terbaik kepada pengguna.
Beliau berkata, kerjasama dengan YTL Communications itu juga merintis kemungkinan spektrum baru kenderaan keluaran PROTON Holdings di samping menawarkan keselesaan dan produktiviti yang lebih baik kepada pengguna ketika berada di jalan raya.
“Kami sudah berunding dengan YTL Communications selama setahun dan memeterai perjanjian bersama mereka tahun lalu. Hari ini (semalam) cuma satu langkah kecil.
“Selepas ini, kami akan bekerjasama untuk mengintegrasikan lebih banyak ciri untuk diletakkan di dalam kereta,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kerjasama strategik antara PROTON Holdings dan YTL Communications di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengarah Eksekutif YTL Communications, Datuk Yeoh Seok Hong.
Syed Zainal berkata, kerjasama antara kedua-dua syarikat itu akan turut membolehkan model baru yang akan dikeluarkan Proton Holdings di masa depan, dilengkapi dengan rangkaian tanpa wayar mikro bagi mendapatkan akses Internet berkelajuan tinggi dengan memanfaatkan liputan luas rangkaian perkhidmatan Yes di seluruh negara.
“Kami sedang berusaha untuk menyediakan teknologi ini kepada model akan datang dan ini adalah sejajar janji jenama syarikat untuk komited menjadi lebih baik dengan sentiasa konsisten mencari cara untuk meningkatkan pengalaman pemilik kereta jenama PROTON,” katanya.
Ciri-ciri nilai tambah itu juga, katanya akan menjadikan kenderaan PROTON lebih inovatif dan segar untuk menarik kalangan pembeli generasi baru.
Rangkaian Internet 4G Yes kini meliputi 65 peratus daripada kawasan berpenduduk di negara ini, termasuk di sepanjang 960 kilometer Lebuh Raya Utara-Selatan dan sebahagian besar Lebuhraya Pantai Timur.
YTL Communications sudah melabur kira-kira RM2.5 bilion bagi membangunkan infrastruktur rangkaian itu.
Bagi menandakan kerjasama strategik itu, PROTON Holdings dan Yes menawarkan sebuah kereta PROTON Inspira edisi khas yang dilengkapi kemudahan Internet 4G bernilai RM100,000 dalam peraduan Facebook ‘Menangi Kereta Internet 4G Pertama Malaysia’.
Model Inspira itu menampilkan kemasan warna istimewa dengan rim 18 inci edisi khas dan dilengkapkan dengan tiga unit Apple iPad 2 serta ‘router’ mudah alih Yes Huddle yang semuanya direka bentuk khusus dalam kenderaan itu.
Peraduan itu bermula semalam dan berlangsung sehingga 27 Mac ini.