Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

PROTON baru dilengkapi internet 4G

  SYED Zainal Abidin   (dua dari kiri) menunjukkan PROTON Inspira edisi khas yang dilengkapi kemudahan Internet 4G ditawarkan kepada  pemenang peraduan Facebook 'Menangi Kereta Internet 4G Pertama Malaysia'.

Pengenalan ciri tambahan teknologi Yes hasil kerjasama dengan YTL Communications


MODEL baru PROTON, P3-21A, yang akan menjengah pasaran pada pertengahan bulan depan, akan dilengkapi rangkaian internet berkelajuan tinggi, sekali gus menjadikan-nya sebagai kereta keluaran tempatan pertama dilengkapi teknologi hiburan kereta yang serba lengkap.

Pengenalan ciri nilai tambah itu direalisasikan hasil kerjasama strategik antara PROTON Holdings Bhd dengan YTL Communications Sdn Bhd.

Di bawah kerjasama itu, perkhidmatan 4G Yes yang dibangunkan YTL Communications akan dipasang dalam model baru berkenaan.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan PROTON Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kerjasama itu adalah sebahagian langkah penjenamaan semula kereta PROTON sejajar komitmen syarikat dalam menyediakan produk terbaik kepada pengguna.

Beliau berkata, kerjasama dengan YTL Communications itu juga merintis kemungkinan spektrum baru kenderaan keluaran PROTON Holdings di samping menawarkan keselesaan dan produktiviti yang lebih baik kepada pengguna ketika berada di jalan raya.

“Kami sudah berunding dengan YTL Communications selama setahun dan memeterai perjanjian bersama mereka tahun lalu. Hari ini (semalam) cuma satu langkah kecil.
“Selepas ini, kami akan bekerjasama untuk mengintegrasikan lebih banyak ciri untuk diletakkan di dalam kereta,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kerjasama strategik antara PROTON Holdings dan YTL Communications di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengarah Eksekutif YTL Communications, Datuk Yeoh Seok Hong.

Syed Zainal berkata, kerjasama antara kedua-dua syarikat itu akan turut membolehkan model baru yang akan dikeluarkan Proton Holdings di masa depan, dilengkapi dengan rangkaian tanpa wayar mikro bagi mendapatkan akses Internet berkelajuan tinggi dengan memanfaatkan liputan luas rangkaian perkhidmatan Yes di seluruh negara.

“Kami sedang berusaha untuk menyediakan teknologi ini kepada model akan datang dan ini adalah sejajar janji jenama syarikat untuk komited menjadi lebih baik dengan sentiasa konsisten mencari cara untuk meningkatkan pengalaman pemilik kereta jenama PROTON,” katanya.

Ciri-ciri nilai tambah itu juga, katanya akan menjadikan kenderaan PROTON lebih inovatif dan segar untuk menarik kalangan pembeli generasi baru.

Rangkaian Internet 4G Yes kini meliputi 65 peratus daripada kawasan berpenduduk di negara ini, termasuk di sepanjang 960 kilometer Lebuh Raya Utara-Selatan dan sebahagian besar Lebuhraya Pantai Timur.

YTL Communications sudah melabur kira-kira RM2.5 bilion bagi membangunkan infrastruktur rangkaian itu.

Bagi menandakan kerjasama strategik itu, PROTON Holdings dan Yes menawarkan sebuah kereta PROTON Inspira edisi khas yang dilengkapi kemudahan Internet 4G bernilai RM100,000 dalam peraduan Facebook ‘Menangi Kereta Internet 4G Pertama Malaysia’.

Model Inspira itu menampilkan kemasan warna istimewa dengan rim 18 inci edisi khas dan dilengkapkan dengan tiga unit Apple iPad 2 serta ‘router’ mudah alih Yes Huddle yang semuanya direka bentuk khusus dalam kenderaan itu.

Peraduan itu bermula semalam dan berlangsung sehingga 27 Mac ini.

BERNAS catat untung RM246.85 juta bagi tahun kewangan 2011

KUALA LUMPUR: PadiBeras Nasional Bhd (BERNAS) mencatatkan keuntungan sebelum cukai tinggi sedikit sebanyak RM246.849 juta bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember, 2011, daripada RM245.781 juta pada 2010.

Pendapatan bagi tahun itu meningkat kepada RM3.534 bilion daripada RM3.172 bilion tahun lalu.

Bagi suku keempatnya yang berakhir 31 Dis, 2011, keuntungan sebelum cukai Bernas turun kepada RM39.504 juta daripada RM53.492 juta dalam suku yang sama pada 2010.

Bagaimanapun, pendapatan bagi suku tersebut meningkat kepada RM983.544 juta daripada RM859.142 juta pada suku yang sama sebelumnya. - BERNAMA

Lebih Banyak Pilihan Untuk Pengguna TM HSBB

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) menjangkakan persaingan dan penyertaan daripada rakan niaga nilai tambahan pukal untuk perkhidmatan data Jalur Lebar Berkelajuan Tingginya (HSBB) akan menambahkan lagi kepelbagaian dan pilihan untuk para penggunanya.

HSBB ialah rangkaian "akses terbuka" yang menjanjikan persekitaran yang sama rata yang menawarkan peluang melalui perkhidmatan "dual play" dan "triple play" untuk penggunanya.

Ini akan ditingkatkan lagi sebaik sahaja kandungan tambahan nilai dan penyedia aplikasi pihak ketiga serta rakan niaga melancarkan perkhidmatan mereka bersama TM.

"Televiysen Protokol Internet (IPTV), Video-atas-permintaan (VoD), suara dan perkhidmatan data lebar jalur tinggi akan menjadi sebahagian daripada pakej langganan perkhidmatan pengguna runcit.

"TM komited untuk menjadikan ia terbuka kepada semua peserta yang layak dan bercadang untuk bekerjasama dengan pencari akses bagi memastikan mutu yang unggul untuk pengguna," kata syarikat dalam satu kenyataan Jumaat selepas memberi taklimat kepada peserta industri dan penyedia perkhidmatan mengenai terma dan syarat (ITC) akses jalur lebar berkelajuan tinggi pukal (ITC).

Dokumen ITC itu telah disediakan untuk penelitian oleh pihak industri awal bulan ini.

Port pukal HSBB-A diletakkan pada harga yang berpatutan dan berdaya saing bagi kesemua pencari akses iaitu antara RM52 dan RM55 setiap port, bergantung kepada kuantiti dan tempoh kontrak.

"Ketersediaan perkhidmatan kepada pencari akses adalah melalui kaedah "siapa dahulu, didahulukan", katanya sambil menambah port-port berkenaan terbuka kepada pencari akses yang menawarkan sekurang-kurangnya perkhidmatan "dual play" seperti data dan video kepada pengguna.

"Ini ialah untuk melindungi pengguna daripada penyedia perkhidmatan yang bercadang untuk menjual semula lebar jalur pada harga yang lebih tinggi tanpa menambahkan nilai kepada rangkaian," kata TM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa disebut sebagai berkata dalam kenyataan yang TM mahu menunaikan janji bahawa wujudnya persekitaran sama rata dan akses terbuka kepada semua pencari akses yang layak.

Beliau turut menggalakkan agar semua pencari akses yang berlesen dan penyedia perkhidmatan nilai tambah menjadi rakan niaganya.

Kenyataan itu menambah yang jualan akses perkhidmatan HSBB pukal akan dibuka untuk pencari akses serentak dengan pelancaran perkhidmatan HSBB di Bangsar, Shah Alam, Subang Jaya dan Taman Tun Dr Ismail.

Ia berkata penyedia perkhidmatan nilai tambahan yang berminat dalam perkhidmatan pukal HSBB boleh memulakan perbincangan dengan TM dan kemudiannya boleh melancarkan perkhidmatan mereka.

Jumlah perbelanjaan modal TM berkaitan projek HSBB setakat 31 Dis, 2009 telah mencecah RM1.9 bilion, merangkumi akses sambungan akhir, perlaksanaan IP teras dan penambahan kapasiti rangkaian antarabangsa.



-- BERNAMA

Kelantan Perkenal "Pasar Serawe" Pamer, Jual Barang Antik

Salam semua. Lame sudah gwe tak update blog ni. Kali ini gwe ingin berkongsi berita menarik dengan pengunjung blog ini. Berita menarik tersebut ialah kerajaan Kelantan memperkenalkan "Pasar Serawe" bagi mempamer dan menjual barang-barang antik yang mempunyai nilai estetika dan sejarah tradisional. Ini merupakan satu lagi keistimewaan kepada rakyat Kelantan.


Berikut ialah berita penuh yg gwe dapat dari bernama mengenai Pasar Serawe ini.

KOTA BAHARU, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan Kelantan melalui Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) memperkenalkan "Pasar Serawe" bagi mempamer dan menjual barang-barang antik yang mempunyai nilai estetika dan sejarah tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu bertujuan untuk memulihara barangan berunsur sejarah daripada pupus supaya dapat dihayati generasi akan datang.

"Konsep "Pasar Serawe" ini lebih kepada mempamer dan menjual barangan antik yang mempunyai nilai-nilai estetika dan tradisional masyarakat negara ini kepada masyarakat umum," katanya kepada pemberita sempena pelancaran pasar berkenaan di bangunan Muzium Negeri, di sini Sabtu.

Hadir sama kurator muzium berkenaan Datuk Salleh Mohd Akib dan Pengarah Muzium Negeri Mohd Fauzi Mat.

Takiyuddin yang juga Pengerusi PMNK berkata dengan pelancaran pasar itu menambah satu lagi produk baru muzium negeri ini dalam usaha menarik pelancong melawat Kelantan.

Menurutnya pasar yang pertama kali diperkenalkan di negeri ini lebih berupa pusat pameran dan penjualan barangan lama sama ada yang menjadi koleksi peribadi individu tertentu yang mempunyai nilai sejarah dan seni kraftangan.

"Ini termasuk barangan antik seperti peralatan tradisional, seterika arang, alat elektronik, senjata lama termasuk keris, lembing serta tombak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata "Pasar Serawe" itu yang dibuka setiap hari Sabtu mengambil sempena nama pasar yang menjual pelbagai jenis barangan yang diperkenalkan di negara luar seperti konsep pasar jualan dalam bonet kereta, "Car boot sale".

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua pihak yang mempunyai barangan koleksi peribadi supaya menyertai program ini untuk mempamer atau menjual barangan mereka di muzium ini.

Menurutnya peringkat awal, tapak bagi mempamer atau menjual barangan itu disediakan secara percuma dan mereka berminat boleh menghubungi Pengarah Muzium berkenaan melalui talian 09-7482266.

-- BERNAMA