Fatwa tiada perkenan Agong?

PULAU PINANG 13 Ogos - Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri melarang bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara di masjid dan surau dipersoalkan sama ada mengikut prosedur betul atau sebaliknya.

Ini berikutan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bertarikh 3 Ogos lalu mengenai larangan itu tidak dinyatakan bahawa fatwa dikeluarkan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Pulau Pinang.

Persoalan itu dilontarkan di laman blog http://novandri.blogspot.com.

Menurut blog berkenaan, mengikut Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004, sebelum sesuatu fatwa diwartakan, Jawatankuasa Fatwa Negeri mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, jika kita merujuk surat pekeliling dan enakmen itu, ternyata keputusan JHEAIPP tidak ikut prosedur betul.

"Persoalannya, apakah Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum mewartakan fatwa kontroversi ini?

"Jika merujuk surat pekeliling, tiada klausa yang mengatakan bahawa pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," jelas blog itu.

Kata blog itu lagi, jika mendapat perkenan baginda, Majlis Fatwa Negeri hendaklah memaklumkan kepada kerajaan negeri sebelum disiarkan dalam warta.

Bagaimanapun, ujarnya, Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim menafikan tahu tentang fatwa tersebut.

"Malah, yang menghairankan adalah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa pembacaan tidak dilarang untuk memasang pita rakaman bacaan ayat suci al-Quran selagi tidak mengganggu orang yang sedang melakukan ibadah," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bermesyuarat 7 April lalu memutuskan, membaca al-Quran dengan pembesar suara di masjid dan surau adalah dilarang mengikut hukum syarak.

0 comments:

Post a Comment

Nak komen? Silakan.