Anggota Dan Pegawai Polis Sambut Baik Kenaikan Gaji Dan Elaun

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Anggota dan pegawai polis menyambut baik pengumuman skim perkhidmatan baru untuk mereka dan menyifatkannya sebagai usaha murni kerajaan meningkatkan taraf kehidupan, semangat dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang anggota berpangkat Sarjan dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang, Jasfarizam Abu Hassan berkata beliau dan rakan setugasnya sangat bersetuju dengan apa yang mereka peroleh ini.

"Sangat setuju...cuma belum menyeluruh...pemahaman saya adalah pada tangga Konstabel ke Koperal, ia kurang...patutnya kenaikan kena sama-sama naik dengan pangkat lain."

"Mungkin pihak pengurusan masih lagi berbincang mengenai perkara ini...apa-apa pun ia baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada hari Rabu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata skim perkhidmatan baru tersebut berkuatkuasa pada 1 Januari tahun lepas namun tarikh pembayaran gaji mengikut skim baru itu masih belum ditetapkan.

Mereka yang layak akan menikmati skim perkhidmatan baru yang membolehkannya mendapat penyelarasan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP).

Hishammuddin berkata ini merupakan usaha berterusan kementerian dalam menjaga kepentingan dan kebajikan anggota polis di seluruh negara dan sebahagian daripada cadangan yang dirumuskan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang lagi anggota berpangkat Sarjan, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Putrajaya yang tidak mahu namanya disebut berkata langkah kerajaan itu dilihat sangat tepat dan kena pada masanya memandangkan ekonomi ketika ini memerlukan anggota berjimat dalam perbelanjaan seharian.

"Ia sangat baik dan mampu meringankan beban kami yang terpaksa berhadapan dengan harga barang rumah yang meningkat dan kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya.

Seorang Inspektor dari Balai Polis Dang Wangi, pula berkata langkah ini mampu mengelakkan anggota dan pegawai daripada membuat pinjaman atau menambahkan hutang yang sedia ada.

"Kita mampu berjimat dengan lebih cermat lagi tanpa perlu buat pinjaman kerana dengan kenaikan ini kita mampu mengawal perbelanjaan harian, katanya.

Seorang anggota berpangkat Sarjan dari Bilik Gerakan IPD Brickfields, yang hanya mahu dikenali sebagai Rosnah berkata setiap anggota dan pegawai patut bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan yang menjayakan langkah ini.

"Apa yang saya boleh cakap ialah Alhamdulillah...kita kena bersyukur atas pemberian Tuhan ini...terima kasih kepada pihak yang terlibat, katanya.

-- BERNAMA

3 comments:

PutraRocker said...

cikgu2 bile lg...woooot3

hanis aleeya aka gadis sepi said...

Siapa tak suka dapat duit?? Betul tak??

Anonymous said...

asal naik gaji polis...
asal isu naik gaji polis....
polis polis polis...
kerajaan lain xde ke?? berat sebelah betol..

Post a Comment

Nak komen? Silakan.