Lebih Banyak Pilihan Untuk Pengguna TM HSBB

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) menjangkakan persaingan dan penyertaan daripada rakan niaga nilai tambahan pukal untuk perkhidmatan data Jalur Lebar Berkelajuan Tingginya (HSBB) akan menambahkan lagi kepelbagaian dan pilihan untuk para penggunanya.

HSBB ialah rangkaian "akses terbuka" yang menjanjikan persekitaran yang sama rata yang menawarkan peluang melalui perkhidmatan "dual play" dan "triple play" untuk penggunanya.

Ini akan ditingkatkan lagi sebaik sahaja kandungan tambahan nilai dan penyedia aplikasi pihak ketiga serta rakan niaga melancarkan perkhidmatan mereka bersama TM.

"Televiysen Protokol Internet (IPTV), Video-atas-permintaan (VoD), suara dan perkhidmatan data lebar jalur tinggi akan menjadi sebahagian daripada pakej langganan perkhidmatan pengguna runcit.

"TM komited untuk menjadikan ia terbuka kepada semua peserta yang layak dan bercadang untuk bekerjasama dengan pencari akses bagi memastikan mutu yang unggul untuk pengguna," kata syarikat dalam satu kenyataan Jumaat selepas memberi taklimat kepada peserta industri dan penyedia perkhidmatan mengenai terma dan syarat (ITC) akses jalur lebar berkelajuan tinggi pukal (ITC).

Dokumen ITC itu telah disediakan untuk penelitian oleh pihak industri awal bulan ini.

Port pukal HSBB-A diletakkan pada harga yang berpatutan dan berdaya saing bagi kesemua pencari akses iaitu antara RM52 dan RM55 setiap port, bergantung kepada kuantiti dan tempoh kontrak.

"Ketersediaan perkhidmatan kepada pencari akses adalah melalui kaedah "siapa dahulu, didahulukan", katanya sambil menambah port-port berkenaan terbuka kepada pencari akses yang menawarkan sekurang-kurangnya perkhidmatan "dual play" seperti data dan video kepada pengguna.

"Ini ialah untuk melindungi pengguna daripada penyedia perkhidmatan yang bercadang untuk menjual semula lebar jalur pada harga yang lebih tinggi tanpa menambahkan nilai kepada rangkaian," kata TM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa disebut sebagai berkata dalam kenyataan yang TM mahu menunaikan janji bahawa wujudnya persekitaran sama rata dan akses terbuka kepada semua pencari akses yang layak.

Beliau turut menggalakkan agar semua pencari akses yang berlesen dan penyedia perkhidmatan nilai tambah menjadi rakan niaganya.

Kenyataan itu menambah yang jualan akses perkhidmatan HSBB pukal akan dibuka untuk pencari akses serentak dengan pelancaran perkhidmatan HSBB di Bangsar, Shah Alam, Subang Jaya dan Taman Tun Dr Ismail.

Ia berkata penyedia perkhidmatan nilai tambahan yang berminat dalam perkhidmatan pukal HSBB boleh memulakan perbincangan dengan TM dan kemudiannya boleh melancarkan perkhidmatan mereka.

Jumlah perbelanjaan modal TM berkaitan projek HSBB setakat 31 Dis, 2009 telah mencecah RM1.9 bilion, merangkumi akses sambungan akhir, perlaksanaan IP teras dan penambahan kapasiti rangkaian antarabangsa.



-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Nak komen? Silakan.