PETALING JAYA: Seorang remaja yang disyaki terbabit dalam kejadian memecah sembilan kereta dan mencuri aksesori di dalamnya di Jalan PJS5 berhampiran Taman Desaria dekat sini, pagi kelmarin, berjaya ditahan ketika cuba melakukan jenayah sama di kawasan sama, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan di kawasan lapang Jalan PJS 5 berhampiran Taman Desaria, sekitar jam 1.30 pagi semalam, sejurus selepas suspek cuba melarikan aksesori sebuah kereta jenis Proton Waja.
“Kami percaya remaja ini bergerak secara berkumpulan bersama lima rakannya dan mereka dikesan oleh anggota polis yang melakukan rondaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, semua rakannya melarikan diri selepas menyedari rakan mereka ditahan anggota polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, polis sedang memburu semua suspek terbabit berdasarkan maklumat dan siasatan ke atas remaja itu dan yakin dapat menangkap mereka dalam masa terdekat.
Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati, semua suspek itu turut terbabit dalam beberapa siri kejadian pecah kenderaan dan curi barangan berharga, termasuk aksesori kereta sejak beberapa bulan lalu.
Kelmarin, sembilan kereta yang diletakkan di tempat letak kereta Dewan Komuniti, Kelana Jaya dipecahkan dengan beberapa barang berharga seperti beg duit, komputer riba dan duit syiling kereta berkenaan dilaporkan hilang dipercayai dilakukan kumpulan sama.
Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan jenayah curi kenderaa
KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) semalam menyuarakan rasa tersinggung terhadap kenyataan Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) berhubung tiada badan khas yang menjaga kebajikan kira-kira 500,000 pesara.
2012/02/23
KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) semalam menyuarakan rasa tersinggung terhadap kenyataan Kelab UMNO Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) berhubung tiada badan khas yang menjaga kebajikan kira-kira 500,000 pesara.
Presidennya, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, berkata PPKM sebenarnya sudah lebih 40 tahun membela nasib kira-kira 600,000 pesara sejak 1972 dan sudah banyak membantu memperjuangkan hak mereka seperti pengiraan pencen mengikut formula berasaskan kepada tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara berkuat kuasa 1 Januari 2009.
“Antara lain termasuklah pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga, pemberian pencen terbitan kepada balu pesara yang dikahwini selepas persaraan selama 20 tahun daripada tarikh persaraan dan pemberian pencen minimum RM720 sebulan bagi pesara sudah berkhidmat tidak kurang 25 tahun mulai tempoh sama.
“Kemudahan lain yang diperoleh ialah wad percuma di hospital bagi pesara dan pemberian wang ihsan dua kali sebanyak RM500 setiap pemberian tahun lalu.
“Selain itu, ia juga membabitkan penyelarasan pencen sebanyak 7 hingga 13 peratus kepada pesara apabila kerajaan melaksanakan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu dan kenaikan pencen pada kadar dua peratus setahun mulai tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Semalam akhbar melaporkan sekumpulan bekas pemimpin CUEPACS dan kesatuan gabungannya menubuhkan KUPEKMAS untuk menyatukan orang Melayu dan menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan dasar transformasi.
KOTA BHARU: Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (TUKAR) membuat 22 tuntutan terhadap kerajaan negeri atas kegagalan membawa sebarang perubahan sepanjang 22 tahun memerintah.
Pengerusinya, Kamarudin Mohd Kasim, berkata 22 tuntutan itu adalah sebahagian besar daripada manifesto yang didakwa gagal ditunaikan selepas berjanji dalam pilihan raya umum 1990, sekali gus menunjukkan rakyat negeri ini sudah disogokkan dengan pelbagai harapan serta janji palsu.
Katanya, sekiranya kerajaan negeri gagal memenuhi tuntutan itu sebelum pilihan raya umum nanti, rakyat Kelantan bersedia untuk menukar kepada kerajaan baru iaitu Barisan Nasional (BN).
“Pada Pilihan Raya Umum 1990, rakyat Kelantan meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan PAS untuk mengubah nasib mereka, namun gagal dipenuhi sehingga 22 tahun memerintah negeri ini.
“Kini sudah tiba masanya rakyat Kelantan menolak kerajaan PAS Kelantan dengan memilih kerajaan BN, sekali gus ia juga sebagai pengajaran kepada kerajaan negeri sekarang, yang hanya pandai berjanji. Tuntutan ini akan dihantar kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Kamarudin berkata, antara 22 tuntutan itu ialah kerajaan negeri perlu bertindak segera dalam menyelesaikan masalah air yang sudah berlarutan sekian lama dan rakyat tidak sanggup menunggu hingga 2027 baru dapat menikmati bekalan air bersih.
Selain itu, katanya Gerakan TUKAR juga meminta supaya anak tempatan diberi keutamaan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan semua wakil rakyat juga harus dari kalangan anak jati negeri ini.
“Kerajaan PAS Kelantan harus segera menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada belia di negeri ini yang kini masih ramai menganggur selain menyegerakan bayaran bantuan RM100 kepada seluruh warga tua bermula dari 1990 hingga sekarang.
“Kerajaan negeri juga diminta supaya menghapuskan cukai pintu, bayaran tempat parkir serta sewa tapak operasi kereta sewa seluruh negeri selain cukai kepala bakul yang dikenakan kepada peniaga kecil,” katanya.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini, hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.
Omar berkata, CUEPACS sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.
"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.
Omar berkata, Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. - BERNAMA
JITRA: Dua beranak maut apabila motosikal yang ditunggangi bertembung dengan lori pasir di simpang Jalan Kampung Kangar, Changlun dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, Samiah Saad, 63, bersama anaknya Noraisham Othman, 22, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menunggang motosikal dari arah Changlun menuju ke Hosba sebelum bertembung dengan lori pasir yang datang dari arah Wang Perah menghala ke Changlun.
"Kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Pulau Kecil, Mukim Tunjang dekat sini. Kita masih menyiasat punca kejadian. Suspek yang memandu lori berumur 26 tahun kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, seorang lagi anak Samiah, Nor Shalimar Othman, 24, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Jitra berkata, ibu dan adiknya dalam perjalanan pulang dari menghantar kuih karas di sebuah kedai runcit berhampiran tempat kejadian dan mengambil hasil jualan kuih minggu sebelumnya daripada tuan kedai.
"Saya mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari melalui panggilan telefon yang dibuat oleh orang awam yang menggunakan telefon adik untuk memaklumkan kejadian itu dan apabila saya sampai, kedua-dua mereka sudah tiada," katanya.
Nor Shalimar berkata, dia tinggal bersama ibu dan adiknya di rumah pusaka selepas bapanya meninggal dunia setahun yang lalu. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Enam anak pengusaha kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada Selasa mengemukakan saman tuntutan ganti rugi berjumlah RM60 juta terhadap suspek-suspek yang terlibat dalam pembunuhan jutawan kosmetik berkenaan.
Tuntutan ganti rugi itu dikemukakan oleh Erni Dekritawati Yuliana Buhari, Erwan Suwari Rizuwan, Md Erwan Nasri, Erni Erinawati Sofia, Erni Rineelawati and Siti Nur Fatimah melalui firma guaman Kamarudin & Rakan-rakan di Mahkamah Tinggi di sini.
Mereka menamakan enam individu sebagai defenden iaitu kesemua yang dituduh terlibat atau bersubahat dalam pembunuhan ibu mereka.
Empat daripadanya ialah bekas peguam N. Pathmanaban, R. Kathavarayan, R. Matan and T. Thilaiyagan sementara dua yang lain ialah K. Sarawanan dan U. Suresh. Kedua-duanya mengaku bersalah terlibat membakar dan membuang abu mangsa iaitu Sosilawati dan tiga lagi ke dalam sungai.
Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, ditemui mati dibunuh di sebuah kawasan ladang di Banting pada 30 Ogos lalu.
-mstar
GUA MUSANG: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menghadapi masalah untuk menyelesaikan isu hak milik tanah khususnya membabitkan Orang Asli.
Sebaliknya, kata beliau, dakwaan ketiadaan fail atau dokumen berkaitan Orang Asli sehingga menyukarkan kerajaan negeri menyelesaikan isu berkenaan adalah tidak benar.
"Kita tak ada masalah seperti itu, tak timbul masalah yang mengatakan kita tak ada fail-fail yang berkaitan.
"Kerajaan negeri boleh dan sedang teruskan prosesnya (pemberian tanah), ia cuma ambil masa kerana perlu lalui proses tertentu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke perkampungan masyarakat Orang Asli Kampung Sendrod, Lojing di sini, Isnin.
Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.
Wan Abdul Rahim turut menegaskan Tengku Razaleigh 'menghilangkan' semua fail yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asli bersamanya selepas membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1996 hingga kerajaan PAS Kelantan gagal menangani isu-isu berkaitan kaum terbabit.
Dakwaan berkenaan juga merupakan serangan peribadi yang pertama daripada PAS terhadap Tengku Razaleigh walaupun terdapatnya arahan dan persetujuan supaya Ketua Umno Bahagian Gua Musang tidak 'disentuh' sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Mengulas mengenai perkara berkenaan, Ahmad berkata semua pihak perlu mengamalkan budaya politik yang lebih matang tanpa menyerang peribadi pihak lawan.
"Setiap parti boleh kemukakan dasar masing-masing, biar rakyat lihat dasar mana yang mereka mahukan, (serang) peribadi saya tak setuju.
"Kita perlu profesional dan matang dalam politik," katanya
-mstar
NILAI: Had umur persaraan wajib bagi hakim Mahkamah Syariah akan dilanjutkan kepada 66 tahun daripada 58 tahun mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata. ini bagi menyelaras dengan umur persaraan hakim Mahkamah Sivil.
"Tujuannya antara lain ialah agar hakim yang baru dapat menimba berpengalaman daripada hakim yang senior. Selain itu, dengan adanya hakim tersebut kita berharap tidak ada kes tertangguh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Syariah dan Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2010, di sini hari ini.Katanya, amalan sekarang ialah apabila sampai umur 58 tahun, perkhidmatan hakim-hakim Mahkamah Syariah akan disambung secara kontrak setiap tahun.
Semasa merasmikan seminar tersebut, Jamil Khir berkata inisiatif perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan umum terhadap keunggulan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang dapat menjamin keadilan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa atau agama.
Beliau juga berkata, Mahkamah Syariah perlu menjadi institusi yang bebas dan disegani dalam menegakkan keadilan tanpa perlu tunduk kepada tekanan luar yang datang daripada pelbagai kelompok organisasi dan masyarakat. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebuah pasar raya menjual pelbagai barangan runcit di Wangsa Maju, di sini, musnah dalam satu kebakaran awal pagi, semalam.
Kejadian jam 4.50 pagi itu disedari orang ramai sebaik melihat api marak pada bahagian hadapan pasar raya berkenaan.
Pegawai Operasi 2 Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Kusin Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.01 pagi. Sebanyak lima jentera dari Balai Bomba Setapak, Wangsa Maju, Jelatek, Hang Tuah dan Gombak Selatan dihantar bagi memadamkan kebakaran itu.
“Api dapat dikawal kira-kira 40 minit sebaik anggota kami tiba dan api padam sepenuhnya beberapa minit kemudian. “Hasil pemeriksaan mendapati, barangan jualan basah dan kering yang terdapat di dalam pasar raya berkenaan turut musnah,” katanya, semalam.
Katanya, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian premis itu sudah menutup perniagaan.
-hmetro